Thursday, March 12, 2009

Dakwa mereka yang menghina Sultan Perak.


KUALA LUMPUR 12 Mac – Unit Jenayah Perdagangan Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara buat pertama kalinya akan mengheret penulis blog yang memberi komen-komen menjurus kepada perbuatan menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke Mahkamah Sesyen di empat buah negeri, esok.

Sumber yang menghubungi Utusan Malaysia pada pukul 4 petang ini memberitahu, dua penulis blog yang terdiri daripada orang awam itu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini dan seorang lagi di Petaling Jaya, Selangor.

Pendakwaan ke atas beberapa individu lain yang menghina Sultan Perak juga akan dibuat di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah dan Butterworth, Pulau Pinang.

Sementara di Kuala Terengganu, pendakwaan akan dijalankan pada Ahad ini.

Difahamkan mereka yang terlibat akan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

PETALING JAYA 13 Mac - Seorang juru ukur tanah berusia 36 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan berkaitan menghantar komen bersifat jelik dalam komen melalui internet untuk menghina Sultan Perak.

Nor Hisham Osman didakwa telah menggunakan aplikasi iaitu internet melalui alamat Internet Protokol 118.101.116.160 secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelek sifatnya iaitu: ``..........,........``di http://books.dreambook.com.webper/dul1.html yang mempunyai pautan kepada laman web pejabat DYMM Sultan Perak iaitu www.sultan. perak.gov.my dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 12.34 tengah hari, 11 Februari lalu di No. 16-01-06, Blok 16 Pangsapuri Sri Indah, Taman Lestari Perdana, Sri Kembangan dekat sini.

Mahkamah membenarkan Nor Hisham yang diwakili peguam Edmund Bon dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 April ini. - Utusan

Seksyen 233 akta tersebut menyatakan, pengendali laman web dan blog yang menyebar kandungan bersifat jelek, mengancam dan mengugut boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.

Sungguhpun begitu, andai kata mereka yang terbabit tidak hadir ke mahkamah seperti yang diarahkan maka pihak pendakwaan bercadang memohon supaya mahkamah mengeluarkan waran tangkap.

Mereka ditangkap ekoran pemantauan yang dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke atas laman blog yang banyak menyiarkan komen-komen menghina Sultan Azlan Shah.

KOTA KINABALU 13 Mac – Seorang pemilik kedai telefon bimbit didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi komen-komen dalam blog yang menjurus kepada perbuatan menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Dalam pendakwaan kira-kira pukul 9 pagi itu, tertuduh, Rutinin Suhaimin, 35, yang berasal dari Kundasang, Ranau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Hakim, Ummu Kalthom Abdul Samad memutuskan tarikh 25 dan 26 Mei ini perbicaraan kes tersebut.

Tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan deposit sebanyak RM5,000 bersama dua penjamin dari Ranau dan Kota Kinabalu. - Utusan

No comments:

Post a Comment